Juventus rampas takhta Serie A
ROME - Juventus merampas kembali takhta Serie A selepas membelasah Palermo 3-0 pada Ahad yang menyaksikan mereka berada di atas Lazio dengan perbezaan gol.
Skuad Old Lady of Turin itu juga mempunyai satu perlawanan dalam tangan dan merupakan satu-satunya pasukan yang masih belum tewas setakat ini.
Tiga mata penuh hasil gol sumbangan Simone Pepe, Alessandro Matri and Claudio Marchisio bagaimanapun masih belum cukup menyakinkan jurulatih Juventus, Antonio Conte mengenai status mereka selaku pencabar kejuaraan musim ini.
"Kita hanya akan bercakap mengenainya selepas separuh musim apabila kami selesai menentang semua pasukan.
"Hanya ketika itulah kita akan lihat di manakah kita berada dan baru meletakkan sasaran kita," katanya.
Juve mendominasi hampir keseluruhan permainan dan sepatutnya menang dengan jurang yang lebih besar.
Sementara itu, kekalahan 2-0 Udinese yang bertandang ke Parma, hasil gol Jonathan Bibiany dan Sebastian Giovinco, menyebabkan mereka terjatuh dari tangga teratas ke tempat keempat dan kini ketinggalan satu mata di belakang Juve.
Roma pula melonjak ke kedudukan kelima selepas berhempas pulas untuk menewaskan Leece 2-1.
Miralem Pjanic meledak gol sulung untuk kelab barunya itu sebelum Fernando Gago menggandakan kelebihan itu.
Andrea Bertolacci merapatkan jurang untuk pelawat pada babak kedua, namun Roma kental bertahan untuk mengekalkan kedudukan itu sehingga wisel penamat.
Lain-lain perlawanan menyaksikan pasukan tercorot liga, Cesena mencatat kemenangan pertama musim ini selepas membenam satu lagi pasukan bergelut, Bologna 1-0, manakala Atlanta seri 2-2 di Siena. - AFP
No comments:
Post a Comment